Thursday 22 March 2012

Khasiat Buah Betik

Assalamualaikum dan salam lambaian hijau...
Hari ini saya ingin cerita serba sedikit mengenai buah betik.




Betik atau nama saintifiknya, Carica papaya L, juga dikenali dengan nama ‘papaya’ oleh anak-anak . Betik tergolong dalam keluarga Caricaceae, betik adalah tumbuhan semula jadi tropika Amerika. Betik adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang kayu yang lembut, tegak dan biasanya tidak mempunyai cabang.

Buah betik berbentuk bujur yang agak panjang hingga ke bentuk yang hampir bulat. Kulit buah betik yang masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Isi betik rasanya manis, dan aromanya seharum buah betik. Masyarakt Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana dikatakan, ia boleh menghasilkan toksik.
Buah betik mengandungi pelbagai khasiat pemakanan. Bagi setiap 100g betik , ia mengandungi :
·         59.0 kalori untuk pembekalan tenaga,
·         92.1g air,
·         1.0g protein,
·         0.1g lemak,
·         13.5g karbohidrat,
·         0.5g serat,
·         0.5g abu,
·         31.0mg kalsium
·         0.8mg magnesium
·         17.0mg posporus
·         1.0mg zat besi
·         2.0mg sodium
·         337.0mg potasium
·         vitamin B sebanyak 0.08mg,
·         vitamin B2 (0.12mg)
·         niasin (0.1mg
·         vitamin C (69.3mg)
·         karotin (2431ug)

                                                            pokok betik
Selain mengandungi vitamin C yang amat besar, dua kali ganda dari kandungan buah limau, betik juga boleh menjadi pendinding daripada serangan penyakit yang mendera kandung hempedu. Hal tersebut ditemukan dalam kajian pakar pemakanan dari University of California, San Francisco terhadap lebih dari 13 ribu orang, baru-baru ini. Setelah menganalisis kadar darah para sukarelawan, para pengkaji menemukan bahawa mereka yang kadar vitamin C nya rendah, ternyata risiko menderita penyakit kandung hempedu adalah tinggi.
Walaupun sumber vitamin C boleh diperoleh dari pelbagai jenis buah dan sayuran, tetapi sebiji buah papaya dalam ukuran sederhana (+/- 280 gram) mengandungi 188 mg vitamin C dan 500 kj kalori. Ini adalah jumlah yang amat besar. Memandangkan penyakit kandung hempedu lebih banyak menyerang perempuan berbanding lelaki, jadi memakan buah ini amat baik diamalkan oleh perempuan.
Pucuk betik atau daun muda selalunya direbus dan dijadikan ulam. Ianya mempunyai banyak khasiat antaranya merendahkan tahap kolesterol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan sakit migrain di samping boleh melangsingkan badan.
Pucuk betik mempunyai rasa yang agak pahit. Untuk mengubat penyakit di atas adalah dengan memakan pucuknya yang direbus ataupun meminum satu atau dua gelas air rebusannya.
Bunga betik selalunya terdapat pada pokok betik jantan dan pokok betik betina, boleh juga direbus dan dibuat kerabu. Bunga betik jantan lebih kecil daripada bunga betik betina. Walau bagaimanapun, cuma pokok betik betina sahaja yang berbuah. Jadi, jika anda menanam pokok betik dan hairan mengapa ia tidak berbuah walaupun banyak mengeluarkan bunga, jangan marahkan pokok betik tersebut. Ia sebenarnya pokok betik jantan.
Daun betik yang dilayur di atas api dapat mengubati sakit-sakit otot apabila dilekapkan pada bahagian yang sakit. Bagi mengubati sakit sendi pula, meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis boleh membantu.
Daun betik tua, dikatakan boleh dibuat jus untuk mengubati penyakit denggi. Dengar khabarnya, platelet pesakit denggi akan segera bertambah jika meminum jus daun betik. Sejauh mana kebenaran ini, tidaklah diketahui.
Biji betik pula boleh digunakan untuk menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit pada kanak-kanak. Caranya ialah dengan mengambil segengam biji betik dan tumbuk hingga hancur kemudian direbus dan diminum oleh kanak-kanak tersebut, tetapi awas, ia dipercayai tidak berapa sesuai untuk wanita yang sedang mengandung.
Getah daripada daun, buah atau batang berguna untuk mengubati kaki yang pecah-pecah dan cara menyapu getahnya pada tempat berkenaan. Getah betik juga berguna bagi melegakan kesakitan gigi yang berlubang dengan cara menitikkan getah pada lubang gigi tersebut atau boleh juga menggunakan kapas.
Daun betik yang ditumbuk lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit garam dan kemudian dilekapkan pada tempat yang luka dan dibalut dapat menghentikan pendarahan.
Di samping itu berikut adalah khasiat lain betik ;
·         Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
·         Air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
·         Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
·         Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.
·         Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan disamping menghaluskan kulit dan mampu menjadikan wajah sentiasa awet muda.

                                                      sabun betik dijadikan sabun kosmetik

                                                                  salad betik


                                                                kerabu betik muda

Walaupun terdapat pelbagai kelebihan dan khasiat memakan buah betik dan daunnya untuk kesihatan, namun penggunaannya hendaklah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari kelak.

Saturday 17 March 2012

Negeri Perak

Assalamualaikum dan salam lambaian hijau...
Saya Noor Hamizah binti Jalaluddin. Kalau diikutkan tahun saya berumur 22 tahun tetapi kalau diikutkan bulan baru berumur 21 tahun...hehe...Saya merupakan anak sulung dari tiga beradik. Adik-beradik saya semuanya perempuan. Saya berasal dari negeri Perak iaitu Kampar, Perak. Pada ketika ini, saya ingin bercerita mengenai asal usul negeri kelahiran saya iaitu Perak Darul Ridzuan.


                                                                Bendera Negeri Perak

Berdasarkan apa yang saya cari dalam wikipedia, menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) menyatakan pada zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab BendaharaTun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

Namun terdapat pula pendapat lain iaitu menyatakan bahawa seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat seperti perak dan warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari serta berbagai-bagai cerita lagi.

Di negeri Perak terdapat banyak tempat menarik yang patut dilawati. Bukan sahaja menarik tempatnya malah penuh dengan sejarah. Antaranya Menara Condong di Teluk Intan, Pulau Pangkor, Gunung Helang di Ipoh, Hot Spring Sungai Klah di Sungkai dan banyak lagi.



Contoh peta tempat yang menarik di Perak



                                                         Tasik Gunung Helang, Ipoh


                                                       Menara Condong, Teluk Intan


                                                                   Pulau Pangkor

Oleh itu, saya dapat mengetahui serba sedikit akan asal usul negeri Perak yang sebelum ini saya tidak mengetahuinya langsung akan asal usul negeri saya. Saya sangat bersyukur dan bertuah kerana dilahirkan di negeri Perak kerana Perak kaya dengan tempat-tempat menarik. Tambahan pula, tahun ini merupakan tahun melawat Perak.